Friday, January 14, 2011

Menu Hidangan Tenteram

Satu persoalan berkaitan tenteram yang ana tanyakan pada sahabat ana, dan ini jawapannya:


Muqaddimah

Sangat sukar untuk mencari bayangan TENTERAM sekalipun ia sedang meniti di hadapan mata kita. Sangat sukar untuk memiliki segugus TENTERAM sekalipun ia telah bertaut di tangkai hati kita. Malah lebih sukar lagi mempertahankan istana TENTERAM sekalipun mazmumah cuma bertiup sepoi-sepoi bahasa. Ada duit banyak tetapi tidak TENTERAM. Ada segulung ijazah, tetap tidak jumpa erti TENTERAM. Sudah berkahwin, pun ada ketikanya tidak TENTERAM. Apatah lagi tak kahwin. Lagi tidak TENTERAM. Kerana TENTERAM itu adalah satu perasaan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih yang berjaya mengharungi Lautan Ujian.

Menu Tenteram

Bukan semata-mata diam, tetapi TENTERAM adalah satu rangkuman semua jenis perasaan yang menenangkan. Ramuannya ialah sabar, berlapang dada dan bersyukur. Bila semua bahan-bahan tersebut di satukan dalam periuk Terima Seadanya, maka terhasillah menu TENTERAM yang sangat menyelerakan. Itulah makanan terbaik yang dimakan dengan tangan Akhlak Yang Baik. Masuk ke dalam mulut yang Mengikut Syariat dan melalui hati yang Mentauhidkan Allah Taala.

Tempat Tinggal Tenteram

TENTERAM ini akan terhasil di dalam hati kita setelah kita melazimi sifat-sifat yang terpuji yang disarankan oleh Baginda Rasulullah SAW. Kerana hati ini seumpama bangunan. Sekiranya hati umpama Pub atau Disko, maka bohsia, bohjan, mak nyah, bapak ayam dan sepupu spare partnya yang akan menghuni di dalamnya. Tetapi sekiranya hati ini umpama masjid, maka orang-orang yang berimanlah yang akan menghuninya. Begitulah kiasannya dengan TENTERAM, sekiranya hati kita baik dan berkuasa, maka TENTERAM akan sudi untuk menghuni di dalamnya. Namun, siapakah pula musuh TENTERAM?

Musuh Tenteram?

Pastilah musuh TENTERAM ialah hati-hati yang tidak memiliki penghayatan terhadap sifat-sifat terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Itulah hati-hati yang terlupa tujuan Rasulullah SAW diutuskan. “Sesungguhnya Aku (Muhammad) diutuskan untuk menyempurnakan kesempurnaan akhlak”-hadis. Pemilik hati-hati yang tidak berakhlak sebegini pastinya menjadi musuh kepada TENTERAM buat selama-lamanya….wallahua’lam.




Oleh : Ustaz Mohammad Iimran Bin Zainal Abidin
Tabir Alam.
3.49 pagi


No comments: